UPM-KYUTECH BUDDIES PROGRAMME SERIES 1.0 & 2.0 SEBUAH JALINAN BUDAYA YANG MENYATU | KOLEJ PENDETA ZA'BA
» ARTIKEL » UPM-KYUTECH BUDDIES PROGRAMME SERIES 1.0 & 2.0 SEBUAH JALINAN BUDAYA YANG MENYATU

UPM-KYUTECH BUDDIES PROGRAMME SERIES 1.0 & 2.0 SEBUAH JALINAN BUDAYA YANG MENYATU

 

UPM-kyutech Buddies Programme Series 1.0 dan 2.0 sebuah program yang dianjurkan oleh Kluster Keusahawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Pendeta Za’ba sesi 2022/2023 ini banyak memberi impak kepada warga Kolej Pendeta Za’ba malah peserta Kyutech itu sendiri. Program ini sudah berlangsung sebanyak dua siri membuktikan bahawa program ini mampu pergi lebih jauh dengan matlamat dan objektif yang jitu. Program siri 1 dan siri 2 ini berlangsung seperti pada ketetapan berikut :

UPM Kyutech Buddies Programme Series 1.0

Tarikh : 3 November 2022 hingga 14 November 2022

UPM Kyutech Buddies Programme Series 2.0

Tarikh : 26 November 2022 hingga 2 Disember 2022

Tujuan Program :

  • Menjalinkan hubungan dua hala & meningkatkan kemahiran berkomunikasi antara satu sama lain tanpa mengira kelainan bahasa dan bangsa.
  • Pelajar program juga dapat mengetahui cara berkomunikasi yang lebih efisien di peringkat antarabangsa.
  • Memperkenalkan silang budaya antara pelajar luar negara dan pelajar di dalam negara Malaysia.

Pada siri yang pertama, seramai 12 orang pelajar kyutech yang datang daripada tiga buah negara iaitu seramai dua orang pelajar daripada India, satu daripada China dan Sembilan orang daripada negara Jepun. Walau bagaimanapun, pada siri yang kedua seramai lapan orang pelajar kyutech yang kesemuanya daripada negara Jepun. Pelajar-pelajar Kyutech ini telah disajikan dengan pelbagai aktiviti yang menarik bukan sahaja di dalam Universiti Putra Malaysia, malah di beberapa buah tempat menarik di Malaysia. Menurut pengarah program saudari Nur Aziilah Binti Mohd Hanafi menyatakan bahawa,

“Pelajar-pelajar Kyutech merasakan sungguh gembira sepanjang mereka berada di UPM. Buddies-buddies atau pengiring yang mengiring mereka juga membuatkan mereka bertambah seronok kerana mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti di kolej. Selain itu, mereka juga sangat menghargai segala aktiviti dan program yang disediakan buat mereka yang kebanyakannya menceritakan dan mendedahkan mereka dengan budaya di Malaysia yang pelbagai. Mereka (pelajar dari Jepun, India dan China) juga banyak mempelajari dan berkongsi  tentang persamaan dan perbezaan budaya, makanan dan sebagainya antara negara mereka sendiri dengan negara Malaysia. Sebagai contoh, mereka belajar tentang cara membuat onde-onde, tetapi di negara Jepun mereka ada mochi salah satu kuih tradisional yang popular di negara matahari terbit itu. Mereka juga ada menyatakan bahawa pelajar-pelajar di UPM sangat ramah dan mahir dalam berkomunikasi walaupun berbeza Bahasa,” katanya dalam sesi temu ramah.  

 

Pelajar-pelajar kyutech ini diiringi oleh buddies yang akan menjadi pemandu dan ‘rakan’ mereka sepanjang program berlangsung dan menyertai pelbagai aktiviti yang ada. Pada siri 1.0, seramai 12 orang buddies telah dilantik manakala pada siri 2.0 seramai 8 orang buddies telah bersama-sama membantu mengurus kedatangan pelajar kyutech ini. Antara aktivti yang telah berlangsung adalah seperti berikut :

Aktiviti-aktiviti UPM-Kyutech Buddies Programme Series 1.0

  • Melawat sekitar Universiti Putra Malaysia, Serdang.
  • Lawatan ke Taman Wetland, Putrajaya.
  • Jom Buat Onde-onde.
  • Santai Sambil menganyam.
  • Sesi “Pakaian Tradisional”.
  • Sesi “Tarian Zapin”.
  • Jom Masak Ayam Pansuh.
  • Lawatan ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan aktiviti kayak di Kelab Tasik Putrajaya.
  • Lawatan ke Muzium Negara dan Pasar Seni Kuala Lumpur.
  • Sesi Majlis Penutup “Until We Meet Again”

 

Aktiviti-aktiviti UPM-Kyutech Buddies Programme Series 2.0

  • Lawatan ke Dataran Merdeka dan sekitar Kuala Lumpur.
  • Sesi Bahasa Malaysia.
  • Jom Buat Onde-onde.
  • Sesi “Pakaian Tradisional”.
  • Sesi Majlis Penutup “Until We Meet Again”.

 

Pada sesi Majlis Penutup “Until We Meet Again” bagi Siri 1.0 pelbagai persembahan telah diadakan. Turut sama hadir memeriahkan majlis Pengetua Kolej Pendeta Za’ba, Leftenan Kolonel Bersekutu Pertahanan Awam Prof. Madya Dr. Mohd Azani Alias yang sama-sama beramah-mesra dengan pelajar-pelajar Kyutech sepanjang majlis penutup. Pada sesi Majlis Penutup “Until We Meet Again” bagi siri 2.0 lebih istimewa lagi kerana turut dihadiri oleh sensei (pensyarah) pelajar Kyutech dari negara Jepun iaitu Yoshito Ando dan Hanamoto Tsyuyoshi. Majlis penutup pada malam itu lebih meriah dengan kehadiran mereka. Turut hadir bersama-sama Pengetua Kolej Pendeta Za’ba dan ketua felo.

Tahniah kepada semua pihak yang telah bersama-sama melaksanakan dan menjayakan program ini. Sesungguhnya program ini memang benar-benar memberi impak dalam kalangan warga Kolej Pendeta Za’ba seterusnya berjaya menggabungjalinkan budaya dalam negara dan luar negara. Tahniah !

 

 

Tarikh Input: 17/12/2022 | Kemaskini: 17/12/2022 | naterah

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ PENDETA ZA'BA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7387
00000
SXEcMA4~