PENGENALAN NAMA KOLEJ DAN NAMA DEWAN KOLEJ PENDETA ZA’BA | KOLEJ PENDETA ZA'BA
» ARTIKEL » PENGENALAN NAMA KOLEJ DAN NAMA DEWAN KOLEJ PENDETA ZA’BA

PENGENALAN NAMA KOLEJ DAN NAMA DEWAN KOLEJ PENDETA ZA’BA

Nama kolej dan dewan di atas nama Pendeta Za’ba adalah dipilih daripada nama tokoh terkenal iaitu Zainal Abidin Ahmad ataupun singkatan nama Za’ba.

Zainal Abidin Ahmad telah dilahirkan pada tahun 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Za’ba mula bersekolah ketika berusia 12 tahun di Sekolah Melayu Batu Kikir dan kemudian bertukar ke Sekolah Melayu Linggi.

Setelah tamat Pendidikan sekolah Melayu, Za’ba melanjutnya pelajarannya ke St. Paul’s Institution, Seremban. Za’ba muncul sebagai anak Melayu yang pertama di Negeri Sembilan yang menduduki Senior Cambridge dan seterusnya berjaya di dalam peperiksaan tersebut pada tahun 1915.

Sejarah kerjaya Za’ba boleh dikatakan menempuh liku-liku hidup yang penuh cabaran dan rumit tetapi berakhir dengan keyajaan. Beliau bermula sebagai seorang guru di Johor Baharu (1916-1918), kemudian berpindah ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, (1923), dan berikutnya ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1924-1939), Jabatan Penerangan Singapura (1939-1942), School of Oriental and African Studies, London (1947-1951) dan Universiti Malaya Singapura (1954-1959).

Beliau seorang yang radikal dalam mengemukakan pendapatnya, baik mengenai bahasa mahupun agama. Beliau juga seorang nasionalis yang tajam penanya menulis tentang hal keadaan bangsanya dengan berani. Za’ba sering menggunakan nama pena ‘Patriot’ di dalam penulisannya selain daripada ‘Za’ba’, ‘Zai Penjelmaan’, ‘Anak Jati Melayu yang berugama Islam’, ‘Z’ dan ‘Melayu’. Buku kaedah ejaan dan nahu ‘Pelita Bahasa Melayu’ sebanyak tiga jilid telah diterbitkan pada tahun 1934 dan disusuli dengan terbitan buku ‘Ilmu Mengarang Melayu’ dalam tahun 1940. Tahun 1958, buku ‘Asuhan Budi Menerusi Islam’ telah diterbitkan yang merupakan kumpulan ceramah yang telah disampaikan di radio menerusi rancangan agama dari Kuala Lumpur dari pertengahan bulan Julai 1951- Januari 1953.

Kegigihan dan semangat juang beliau ini telah diberi pengiktirafan di anugerahkan gelaran ‘Pendeta’ oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Johor Baharu pada 21 September 1956. Za’ba juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada September 1956 dan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 23 Jun 1973 sempena konvokesyen pertamanya. Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun. Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai nasionalis ulung dan anak watan yang banyak berjasa dan berbakti kepada negara dalam perkembangan bahasa dan persuratan Melayu.

Tarikh Input: 16/02/2024 | Kemaskini: 16/02/2024 | norazlinazul

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ PENDETA ZA'BA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7387
00000
SXEcHAg~