NEGERI SEMBILAN, NEGERI BERADAT | KOLEJ PENDETA ZA'BA
» ARTIKEL » NEGERI SEMBILAN, NEGERI BERADAT

NEGERI SEMBILAN, NEGERI BERADAT

Pada tanggal 14 Januari setiap tahun, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan atau Yamtuan Besar Negeri Sembilan akan menyambut hari keputeraan. Pada tahun ini, Yamtuan Besar Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah menyambut hari keputeraan yang ke-76. Sudah menjadi kebiasaan akan adanya sambutan dan adat istiadat sempena hari kebesaran baginda di Istana Seri Menanti. Sudah tentu Istana Seri Menanti akan gamat dengan upacara adat istiadat sempena kelahiran baginda selama tujuh hari, tujuh malam. Sempena Hari Kebesaran Yamtuan Besar Negeri Sembilan ini marilah kita bersama-sama kenali Negeri Sembilan sebuah negeri beradat.

Umum mengetahui, sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan begitu berbeza dengan negeri-negeri beraja yang lain. Negeri Sembilan berpegang dengan adat perpatih. Sistem pemerintahan beraja juga sungguh berbeza dengan adat temenggung yang kebanyakannya digunakan oleh semua negeri beraja di Malaysia. Yamtuan Besar dipilih bermula daripada hierarki yang paling bawah.

Anak buah akan melantik buapak yang akan menjadi ketua kepada 13 suku yang ada. Buapak yang telah dilantik, akan memilih Lembaga yang akan menjaga daerah di dalam mukim. Lembaga akan melantik Undang iaitu seramai empat orang. Undang ini akan mengetuai setiap mukim yang terdapat di Negeri Sembilan. Undang ini juga merupakan raja kepada mukim yang mereka ketuai. Akhir sekali, Undang mempunyai kuasa untuk melantik Yamtuan Besar. Hierarki sistem pemerintahan di Negeri Sembilan ini bermula ada bagusnya dan memberi pengajaran kepada masyarakat bahawa orang yang berpangkat bawahan layak untuk memilih pemimpin di atas.

Adat Orang Negeri Sembilan

Seringkali mendengar ungkapan “Kalau kono qomat ogahang Nisimilan, tak mati badan mongasai”. Bercerita tentang pemberian dan pengagihan harta pusaka, adat perpatih Negeri Sembilan mempunyai cara yang lain berbanding adat temenggung dalam proses pembahagian harta pusaka. Ungkapan di atas menjelaskan tentang kaum Wanita merupakan kaum yang paling yang beruntung di dalam adat pepatih. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap urusan pembahagian harta pusaka, ahli keluarga wanita haruslah didahulukan. Oleh hal yang demikian, ketika adat perpatih ini masih kuat diamalkan pada suatu ketika dahulu, ramai teruna-teruna luar Negeri Sembilan yang takut untuk berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Katanya, sekiranya berkahwin dengan gadis sini, harta pusaka akan menjadi milik sepenuhnya wanita di dalam keluarga. Itulah adat pemberian dan pembahagian harta pusaka dalam adat perpatih. Adakah anda sanggup terima gadis nogori?

Selain sistem pemberian harta pusaka yang berbeza dan unik, adat perkahwinan bagi negeri beradat ini juga berbeza. Adat perpatih yang mengamalkan system bersuku ini mementingkan permuafakatan dalam membuat keputusan. Misalnya, keputusan dalam penentuan Tarikh perkahwinan dan pembahagian tugas ketika berlangsungnya majlis perkahwinan. Selain itu, kepentingan terletak pada suku isteri dan jika lahirnya anak daripada pasangan tersebut, maka anak tersebut akan disahkan pada suku belah ibunya. Sebagai contoh, ibu suku Seri Melenggang manakala ayah suku Biduanda, maka anak yang lahir akan berat kepada suku ibunya iaitu Seri Melenggang. Untuk menambah ahli dalam suku, boleh melalui dua proses iaitu kelahiran atau berkodin (mengambil anak angkat). Namun demikian, terdapat beberapa luak yang tidak membenarkan dan mengharamkan proses kodin ini atas sebab tidak mampu untuk menambahkan ahli di dalam suku dan akan mencemarkan kesucian keturunan suku. Seterusnya, perkahwinan sesama suku adalah haram dan sekiranya berlaku, maka keluarga pengantin perlu menumbangkan seekor kerbau untuk dijamu dalam lingkungan luak, perut dan suku.

Terdapat banyak lagi adat dan kepercayaan bagi adat perpatih ini. Namun demikian, antara pengamalan yang popular dan sering didengar ialah adat dalam pembahagian harta pusaka dan perkahwinan. Adat-adat ini menjadikan Negeri Sembilan sebuah negara yang unik. Walau bagaimanapun, adat istiadat ini makin lama makin lupus ditelan zaman. Ramai generasi muda yang sudah tidak akur dengan peraturan lama adat perpatih ini. Namun begitu, masih ramai lagi generasi tua yang masih aktif hidup dalam bersuku berusaha mempertahankan kesucian dan kemurnian adat perpatih ini. Bak kata orang dulu-dulu, “biar mati anak, jangan mati adat. Ibu adat biar diondeh, tak boghadat bagai minum tak bogulo”. Sebagai generasi muda peneraju dan penyambung sesebuah bangsa, peliharalah adat, kerana adat unik. Adat merupakan harta bagi sesebuah bangsa dan masyarakat. Adat perpatih adat yang berihsan masyarakat, peliharalah ia selepas memelihara iman dalam diri.

 

Tarikh Input: 15/02/2024 | Kemaskini: 15/02/2024 | norazlinazul

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ PENDETA ZA'BA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 7387
00000
SXEcQAE~